CARIAN

Memuatkan ...

PAPAN KENYATAAN

KOSONG

Isnin, 21 Januari 2013

Sekatan Felda: Apabila undang-undang dicabul

Harris (memakai kot) selepas selesai satu kes peneroka saman Felda.


Bagaikan satu trend baru, terdapat kecenderungan menyekat kebebasan bersuara dan beraktiviti yang dibenarkan demokrasi di tanah-tanah rancangan Felda mutakhir ini.



Baru-baru ini PAS Cawangan Jengka 12 telah mendapat notis daripada pengurus rancangan berkenaan melarang program ceramah yang telah ditetapkan. Sebelum ini. Akhbar memaparkan beberapa pertubuhan dalam Felda di Lipis menyerahkan resolusi bantahan bagi menghalang parti politik Pakatan Rakyat (PR) daripada masuk ke kawasan mereka.



Sebelum itu, 8 orang ketua-ketua peneroka Felda di Johor, telah menghantar memorandum kepada ketua polis daerah meminta larangan terhadap pergerakan parti-parti politik Pakatan Rakyat (PR) di kawasan masing-masing.



Timbalan Pengurus Wilayah Felda Jengka tampil di akhbar, melarang parti-parti politik mengibarkan bendera di kawasan tersebut. Sebelum itu Kembara Oren Selamatkan Felda telah disekat secara ganas di pintu masuk Jengka 23 dan Jengka 11.



Di Negeri Sembilan pula, konvoi yang sama bukan saja diusir malah telah dicederakan.



Jadi apakah sebenarnya yang sedang berlaku sekarang, di manakah letaknya undang-undang? Adakah kawasan Felda menyerupai estet zaman dahulu di mana pengurus mempunyai hak eksklusif tersendiri?



Bagi Pengerusi NGO Angkatan Pembela Hak Rakyat (Hak), Mohd Harris Abdullah, keadaan ini menggambarkan ada segelintir manusia yang menganggap undang-undang berada di tangannya.



Sedangkan, katanya, tindakan menghalang seperti itu sama sekali bercanggah dengan undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan. Dalam Fasal 9 Larangan buang negeri dan kebebasan bergerak, undang-undang itu menyebutkan, ‘Tiada seorang pun warganegara boleh dibuang negeri dari atau ditahan masuk ke Persekutuan’.



Kedua, tiap-tiap warganegara berhak bergerak dengan bebas di seluruh Persekutuan dan bermastautin di mana-mana bahagiannya.



“Jadi di mana ada undang-undang yang melarang warganegara ini memasuki kawasan Felda?,” soalnya kepada Harakahdaily ketika berkunjung ke pejabat guamannya di Raub baru-baru ini.



Harris berkata, beliau ada mendengar bahawa tindakan melarang aktiviti PR di Felda adalah bersandarkan kepada Seksyen 34 Akta Group Settlement Area (GSA) yang kononnya memperuntukkan kuasa pengurus rancangan.



Di bawah Seksyen 34. 2 (b) menyebutkan: “that upon such declaration being made, the area shall vest in the development authority” iaitu bahawa apabila perisytiharan dibuat, kawasan itu hendaklah terletak hak pada pihak berkuasa pembangunan.



“Barangkali inilah tafsiran yang dibuat kononnya terdapat kuasa pengurus rancangan. Cuba kita faham betul-betul perkataan ‘vested’ iaitu letak hak. Kalau kita faham letak hak ini, kita kena faham fungsi Felda. Tatkala dikenal pasti satu kawasan untuk dimajukan, maka agensi itu akan mohon kepada kerajaan negeri sebagai pemilik tanah.



“Seterusnya negeri akan letak hak kepada Felda atau pengurus rancangan untuk mengurus, untuk memilih peneroka, menjaga kebajikan peneroka dan sebagainya sedangkan tanah itu masih milik negeri.



“Bahkan kalau kita tengok konsep ini, peneroka mempunyai hak yang lebih berbanding Felda. Apabila peneroka membayar CAC (bayaran premium, upah ukur dan batu sempadan) maka dia sudah boleh kaviet tanah itu, sedangkan Felda tidak ada hak itu,” katanya.



Felda tiada kuasa, bukan pemilik tanah



Jadi apa-apa larangan yang dikeluarkan oleh Felda adalah salah di sisi undang-undang. Sebab Felda bukan pemilik tanah, dia agen pengurusan tanah. Siapa yang keluarkan dokumen hak milik? Bukan Felda tetapi kerajaan negeri, berdasarkan Perkara 20 Perjanjian Peneroka dengan Felda. Felda tidak ada kepentingan benificial dan tidak ada kepentingan legal.



Jelas Harris, kalaupun beliau silap mentafsir kuasa-kuasa pengurus di bawah Seksyen 34 Akta GSA itu, tindakan melarang rakyat Malaysia memasuki Felda itu tetap tidak sah dan terbatal berdasarkan Fasal 4 Perlembagaan.



Fasal 4 di bawah undang-undang utama Persekutuan menyebutkan dengan jelas: (1) Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.



“Perlembagaan Persekutuan digubal pada tahun 1957 sedangkan Akta GSA pada tahun 1960, jadi terbatal. Sebab itu saya tegaskan perbuatan melarang pihak bukan proUmno masuk itu tetap bertentangan dengan Fasal 9 bersandarkan Fasal 4 dengan perlembagaan dan undang-undang negara.



“Jadi saya seru kepada pihak Felda atau Umno atau yang berkaitan dengannya, hentikanlah trend menyekat pembangkang masuk itu kerana ia sangat bahaya.



“Cuba kita bayangkan jika sekiranya Perdana Menteri Malaysia pergi ke negeri-negeri PR kemudian dihalang, bagaimana?. Jangan lupa kalau di Kedah, di Kelantan, di Pulau Pinang dan Selangor BN adalah pembangkang. Pendeknya, tiada siapa boleh mengatasi undang-undang. Jadi hormatilah undang-undang,” tegasnya.



Harris berhujah, tindakan menghalang PAS atau Kembara Oren itu lahir daripada kejahilan terhadap undang-undang negara. Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.



Fasal tersebut menjelaskan (a) Setiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara; (b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata; (c) semua warganegara berhak untuk menubuhkan persatuan.



Parti politik itu ialah persatuan setelah diluluskan Pendaftaran Pertubuhan. Jadi apakah salahnya pemimpin PAS datang untuk bertemu dengan orang-orang PAS, untuk berdialog dengan orang-orang PAS. Begitu juga dengan Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) berhak untuk bertemu dengan ahli-ahli persatuan mereka.



Semua persatuan berhak temui ahlinya



“Janganlah jadikan undang-undang itu dijadikan sebagai bahan politik. Biarkanlah pengamal undang-undang yang bercakap tentang undang-undang. Jadi yang jelasnya perlembagaan membenarkan sesiapa saja bergerak ke mana-mana termasuk menemui ahli-ahlinya,” jelas Harris.



Bagaimana pula untuk mengatasi masalah pencabulan undang-undang secara nyata ini.



Harris mencadangkan supaya parti-parti pembangkang pergi ke mahkamah dan meminta satu perisytiharan daripada mahkamah tinggi bahawa semua halangan tidak sah kerana bertentangan dengan Fasal 9 Perlembagaan Persekutuan. Melalui perisytiharan itulah yang boleh digunakan untuk didakwa sesiapa yang menghalang kerana menghina ke mahkamah.

Beliau yakin mahkamah akan keluarkan perisytiharan itu kerana mahkamah tidak akan tergamak melacurkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.



Mengenai Rela yang dipergunakan untuk menyekat kemasukan PR ke tanah rancangan, Harris berkata ia amat bercanggah dengan tujuan asal penubuhan Rela. Rela itu sendiri merupakan ‘makhluk yang wujud kerana ciptaan akta’.



Rela sebagai penjaga ketenteraman tidak boleh bertindak di luar daripada undang-undang. Setiap warganegara Malaysia sama. Dalam Fasal 8 Pelembagaan Persekutuan dalam bab kesamarataan: Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.



“Jadi tidak ada istilah orang BN mendapat layanan istimewa dan orang-orang PR dibiarkan teraniaya,” ujar Harris.



Mengenai arahan larangan memasang bendera di dalam Felda, ia juga satu diskriminasi dan salah guna kuasa. Bendera PAS PKR dibuang bendera BN dikekalkan.



“Kita kembali kepada Fasal 8, setiap orang sama di sisi undang-undang. Kenapa tak sama dalam kes ini? Semua itu penting kita tahu. Sebab ini sebenarnya hak kita untuk bergerak, untuk bersuara dan hak untuk hidup.



“Mungkin ada yang kata mereka halang kerana takut orang-orang PR atau Kembara Oren mahu kucar-kacirkan penduduk. Jenayah belum berlaku, tidak apa-apa yang. Andaian tidak boleh dipakai. Satu contoh, saya ialah Pengerusi Hak, takkan saya tak boleh masuk untuk jumpa ahli-ahli saya. Kalau saya ganggu, mungkin itu satu kesalahan. Itupun termasuk kesalahan-kesalahan kecil,” tegasnya.



Apa kesannya kalau perkara ini tidak dibendung, undang-undang itu tidak dipertegaskan. Apa kesannya kepada masyarakat akan datang?



Harris menambah, jika semua orang yang mencabul undang-undang dibiarkan saja, akhirnya undang-undang negara ini tidak akan dihormati lagi dan negara akan menjadi huru-hara.



Katanya, amat tidak wajar hanya kerana ada pihak yang mahu menyekat maklumat daripada disampaikan kepada semua orang, maka dihalang masuk Felda. Ini nampak kecil, tetapi kesannya besar terutama melibatkan hak parti-parti politik untuk berkempen nanti menjelang pilihan raya nanti.
Stumble
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Tiada ulasan:

Pengikut

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...