PAPAN KENYATAAN

KOSONG

Isnin, 10 Mei 2010

Pahang silap besar tidak bantah pembubaran LKWJ, Dara

Kerajaan Negeri Pahang ternyata melakukan kesilapan besar apabila tidak membantah pembubaran dua agensi pembangunan Persekutuan, Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) dan Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (Dara) pada tahun 2000 kerana pembubaran kedua-duanya mengakibatkan kawasan yang berada di bawahnya selama ini menjadi terabai.

Bukan itu sahaja, pelbagai projek pembangunan sosial dan ekonomi setempat kini kurang diberi perhatian, Lebih menyedihkan, perancangan kemajuan bandar yang dirancang sekitar tahun 1980-an terbantut. Contoh jelas ialah Bandar Jengka yang yang kelihatan tidak terurus dan ceria berbanding semasa kewujudan LKWJ.

Semua ini menjadi rungutan ramai terutama kawasan-kawasan terlibat. Ini disebabkan dua syarikat yang menggantikan peranan dua agensi pembangunan wilayah itu jauh daripada yang diharapkan.



Semua ini menjadi rungutan ramai terutama kawasan-kawasan terlibat. Ini disebabkan dua syarikat yang menggantikan peranan dua agensi pembangunan wilayah itu jauh daripada yang diharapkan.

Selain daripada itu, Pahang dikatakan kerugian RM2.48 bilion selepas pembubaran Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (Dara), Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) dan satu lagi agensi Persekutuan, Projek Bersepadu Pembangunan Pertanian (IADP) berdasarkan peruntukan tahunan yang diperoleh daripada ketiga-tiga agensi itu bagi melaksanakan pelbagai projek di kawasan Jengka, Pahang Barat dan Pahang Tenggara sehingga menyebabkan banyak projek yang dirancang dan sedang dilaksanakan ketika itu terbengkalai.

LKWJ ditubuhkan di bawah Akta 285, Akta Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka pada tahun 1983 dengan mengambilalih Perbadanan Kemajuan Jengka, iaitu sebuah Perbadanan Negeri yang ditubuhkan pada tahun 1971 bertujuan memesatkan lagi pembangunan kawasan Jengka. Pembangunan LKWJ dibuat berdasarkan kepada Pelan Indikatif yang memberi penekanan kepada Pembangunan Bandar Jengka dan pembangunan in-situ bagi kawasan yang tidak termasuk kawasan FELDA. Wilayah LKWJ terletak dalam empat Daerah iaitu Maran, Jerantut, Temerloh dan Bera dengan keluasan 196,728 hektar.

Dara pula ditubuhkan di bawah Akta 68, Akta Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara 1972 untuk menerajui strategi pembangunan secara bersepadu melalui pendekatan pembukaan hutan belantara berpandukan pelan induk yang telah digubalkan oleh Kerajaan. Penekanan diberikan kepada usaha-usaha untuk mengeksploitasi sumber, penyedian rangkaian perhubungan dan pembangunan pusat-pusat pertumbuhan dan bandar-bandar baru yang lengkap dan moden. Wilayah DARA terletak dalam empat Daerah iaitu Rompin, Pekan, Bera dan Maran dengan keluasan 1,002,197 hektar.

Sejak itu, kedua-dua agensi berkenaan bertindak memaju, menggalak, membantu dan mengusahakan pembangunan ekonomi dan sosial bagi memastikan pemodenan sektor pertanian di Kawasan LKWJ, perusahaan dan perdagangan selain mengawal dan menyelaraskan pelaksanaan segala aktiviti.

Dengan dasar penswastaan yang diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamed pada ketika itu, Kerajaan Pusat mengambil keputusan membubarkan dua agensi berkenaan. Sedangkan kemampuan dan tahap kesediaan di kalangan Kerajaan Negeri dari segi kewangan dan tenaga kerja untuk membangunkan kawasan masing-masing masih belum bersedia.

Dua agensi tersebut kemudiannya dibubarkan pada 2 Oktober 2000. Kerajaan seterusnya menetapkan supaya LKWJ diswastakan kepada Warisan Jengka Holdings (M) Sdn Bhd. Ekuitinya terdiri daripada Wawasan Jengka (51%), Keska Corporation (10%) dan Yayasan Basmi Kemiskinan (mewakili kerajaan negeri – 39%).

Sementara Dara pula diswasta kepada Teras Dara Konsortium (TDK). Namun ternyata kini kedua badan swasta itu tidak dapat memainkan peranan mereka dengan berkesan gagal mencapai objektif diharapkan.

Sedangkan Kerajaan Negeri Pahang mempunyai pilihan untuk memohon tidak dibubarkan agensi-agensi berkenaan seperti di negeri-negeri lain. Umpamanya Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Kelantan, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dikekalkan hingga ke hari ini.

Yang menjadi persoalan kepada umum, apakah yang ada dalam pemikiran pemimpin kerajaan negeri pada ketika itu sehingga ‘merelakan’ pembubaran agensi-agensi tersebut sedangkan mereka sepatutnya lebih memahami dan amat menyedari bahawa negeri Pahang yang luas ini bukannya kaya untuk memajukan kawasan-kawasan berkenaan jika tidak dengan bantuan Kerajaan Pusat.

Mengulas isu berkenaan, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Kerajaan Negeri nyata tidak teliti dalam melaksanakan sebarang keputusan. Baginya, Pahang sebuah negeri yang besar memerlukan agensi seperti LKWJ dan Dara bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi di kawasan yang kurang diberi perhatian.

Mengenai pemimpin dari kalangan kerajaan sendiri yang mahukan kerajaan Pusat mewujudkan semula LKWJ dan Dara bagi mengurus pembangunan di kawasan yang telah tertinggal selama ini, Tuan Ibrahim berkata keperluannya dianggap mendesak kerana syarikat swasta telah gagal mengambil alih peranan agensi berkenaan.

“Bila dah kritikal dan gagal membangunkan keperluan rakyat barulah pemimpin kerajaan terhegeh-hegeh meminta agensi yang sudah bubar dikembalikan. Kita bersetuju tetapi inilah gambaran betapa tidak telitinya pihak kerajaan negeri sebelum melaksanakan sesuatu pembangunan”.

“Ketika swasta dulu banyak aset seperti tanah dilupuskan untuk kepentingan syarikat. Bila sudah kritikal kini mereka mahukan kerajaan ambil alih, dengan makna kegagalan itu mahu dikembalikan kepada rakyat untuk menanggungnya”.

“Dari segi perkhidmatan juga gagal. Saya ambil contoh masalah di Bandar Jengka yang dulu di bawah LKWJ, sekarang ini berada di bawah pentadbiran Majlis Daerah Maran. Masalah kebajikan rakyat seperti seperti rumput yang tidak berpotong, penyelenggaraan sampah yang teruk dan sebaginya. Semuanya melambangkan kegagalan,” katanya.

Sementara itu, bekas Pengurus Bahagian Teknikal LKWJ, Musaniff Abdul Rahman menyifatkan pembubaran agensi berkenaan memberi kesan jangka panjang terhadap kemajuan bandar dan projek pembangunan yang dirancang oleh agensi terbabit sekitar tahun 1980-an.

''Saya sedih dengan pembangunan Bandar Tun Abdul Razak Jengka yang kelihatan tidak terurus berbanding semasa LKWJ masih wujud. Begitu juga dengan projek yang terbantut akibat pembubaran, seperti jalan Tanjung Batu yang sepatutnya tembus ke Tanjung Batu putus separuh jalan."

“Saya diberitahu suara-suara rakyat negeri ini terutama di kawasan terlibat mahukan agensi pembangunan wilayah tersebut dihidupkan semula sebagai sebuah agensi. Kalau nak diikutkan, Bera merupakan interseksi kepada LKWJ dan Dara dan sepatutnya boleh membangun dengan pantas. Malah daerah Bera dirancang kewujudannya bagi menampung kemajuan itu. Malangnya dengan pembubaran dua agensi itu, daerah Bera terus mundur”.

Menurut Musaniff, walaupun ada ura-ura persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung penyaluran semula peruntukan tahunan melalui dana khas bagi membangunkan semula kawasan tersebut mulai tahun depan itu akan disalurkan menerusi Majlis Daerah Maran dan Majlis Daerah Rompin, ia tidak akan menyamai.

"Sekitar RM25 juta setahun geran peruntukan dari Pusat akan dimasukkan ke Majlis daerah di kawasan berkenaan tetapi saya rasa tidak mampu untuk menjalankan fungsi seperti dijalankan LKWJ dan Dara kerana peranan agensi lebih luas iaitu menjana pembangunan seimbang di Pahang, ini mustahil dapat dilakukan oleh majlis daerah.”

Gambar:
1. Musaniff (kanan) menunjukkan jalan pesisir Sungai Pahang, Seberang Temerloh yang dibina di bawah projek LKWJ yang terhenti serta merta akibat pembubaran LKWJ.

2. Beginilah keadaan rumah pangsa di Rantau Perintis, Bandar Jengka yang terbiar akibat pembubaran LKWJ.

Artikal asal disini

Stumble
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Akta GSA disalahfaham tindas peneroka

Selama ini peneroka-peneroka Tanah Rancangan Felda menganggap Group Settlement Act (Akta GSA – Akta Penempatan Berkelompok) 1960 sebagai ‘undang-undang berhantu’ yang memenjarakan mereka.

Ini tidak dapat dielakkan kerana melalui akta tersebut Felda dikatakan bertindak sebagai tuan ladang yang sangat berkuasa sementara para peneroka pula hanya ‘pekerja di ladang sendiri’ yang terpaksa meletakkan kesetiaan penuh kepada tuannya.

Begitulah kefahaman yang tidak pernah terungkai dalam tempoh 50 tahun ini.

Namun dalam Himpunan Warga Felda Kebangsaan di Felda Sungai Tengi, Ulu Selangor 24 April lalu, seorang peguam Wan Rohimi Wan Daud telah membuat kejutan besar apabila mendedahkan bahawa kefahaman peneroka berkaitan Akta GSA adalah salah dan melencong sama sekali.

Malah dakwaan Felda berkuasa mutlak melalui Akta GSA dikatakan ‘tahyul yang menyesatkan’ dan ‘mitos jahat yang mengelirukan’ untuk menekan dan menindas peneroka.

Sebidang tanah baik dari segi pengusahaan mahupun pemilikannya, sebenarnya berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri sementara Felda hanyalah sebagai ejen pemaju. Malahan tujuan asas kepada penggubalan Akta GSA ialah untuk memberi panduan kepada kerajaan negeri bagi mengawalselia pemberian tanah kepada rakyat luar bandar.

Bahkan selepas seseorang peneroka melangsaikan hutang memajukan tanah dan kemudiannya mendapat geran, beliau bebas dan tidak terikat lagi dengan akta tersebut. Sementara tanah rancangan di situ bebas sepenuhnya daripada Felda selaku pemaju tanah dan menjadi sebuah perkampungan biasa.

Wan Rohimi ialah peguam kepada peneroka-peneroka Felda Kemahang yang berjaya menyaman Felda sebnayak RM11 juta baru-baru ini.

Beliau membentang kertas kerja bertajuk ‘Menongkah Arus Cabaran, Mendepani Zaman: Maruah Peneroka Perlu Dikembalikan’ memetik hansard ucapan Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein di parlimen pada 27 April 1960.

Menurut hasrat Tun Razak, Akta GSA digubal di bawah Fasal 76 (4) Perlembagaan Persekutuan, adalah bertujuan untuk memberikan tanah kepada rakyat yang tidak bertanah serta menambah pemilikan tanah tidak mencukupi bagi penduduk luar bandar untuk membolehkan mereka mencari nafkah dengan sempurna.

Felda sendiri yang ditubuhkan pada 1 Julai 1956 adalah bertujuan membuka tanah hutan untuk dijadikan tanah pertanian denagn hasrat meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat di kawasan luar bandar.

Sebagai ejen pemaju, Felda berfungsi menyusun semula masyarakat dan mengurangkan kadar kemiskinan masyarakat terutama di kawasan luar bandar. Melalui objektif utamanya, Felda mahu memajukan kawasan pertanian secara produktif dan sempurna dengan mengamalkan pengurusan pertanian yang berkesan serta membentuk sebuah kelompok masyarakat peneroka yang maju, produktif dan berdisiplin bagi meningkatkan taraf hidup.

Namun di sebalik semua itu, kerajaan negeri sebenarnya tetap mempunyai kuasa mutlak menentukan dasar terhadap tanah-tanah miliknya tetapi tidak menjadi amalan atau langsung tidak disedari selama ini. Antaranya menurut Seksyen 36 akta tersebut kerajaan negeri berhak menentukan pelantikan Pengurus Rancangan Felda.

Dalam hal ini, difahamkan pelantikan pengurus-pengurus rancangan tidak pernah dirujuk kepada kerajaan negeri. Akibatnya mereka dikatakan menjadi terlalu berkuasa dan bebas bertindak apa sahaja kepada peneroka, termasuk mengusir mereka apabila difikirkan bersalah. Walhal pada hakikatnya para peneroka adalah tuan tanahh.

Keduanya di bawah Seksyen 36 juga, Felda hanya boleh membuat sebarang peraturan, polisi atau undang-undang kecil di setiap tanah rancangan selepas mendapat kebenaran dan kelulusan pihak berkuasa negeri.

Oleh kerana Felda dianggap berkuasa selama ini, banyak peraturan yang menyebabkan sentiasa dalam keadaan tertekan dan dalam masa yang sama Felda mengaut keuntungan besar tanpa mempedulikan kebajikan dan hak peneroka.

Antaranya mewajibkan peneroka menjual buah sawit ke kilang Felda. Dengan cara ini Felda memonopoli dan memanupulasi gred buah sehingga dibayar sesuka hati atau mengikut gred rendah berbanding kilang-kilang lain. Malangnya rungutan peneroka tidak pernah dipedulikan.

Ketiga, para peneroka tidak boleh menuntut wang tabung tanam semula yang telah dicarum oleh mereka melalui potongan selama 20 tahun yang dianggarkan sebanyak RM17,000 seorang.

Bagi peneroka yang menjayakan tanam semula sendiri tanpa kontrak dengan Felda, sudah pasti tidak adil sama sekali. Bagaimana wang sendiri tidak boleh diperolehi?

Felda Plantation rancangan haram?

Satu lagi kesalahan nyata Felda ialah pembukaan ladang-ladang Felda Plantations sejak diperkenalkan pada tahun 1990.

Sedangkan di bawah Akta GSA, hanya terdapat dua jenis pemilikan dibenarkan kerajaan negeri ke atas tanah, iaitu pemilikan individu peneroka melalui Seksyen 7 (2) dan 11 (1) atau melalui koperasi yang diuruskan oleh Felda melalui Seksyen 35.

Tugas Felda di bawah GSA, bagi sebahagian tanah yang mana Felda dilantik untuk menguruskannya, hanya untuk menjadi Pengurus Rancangan dan bukannya memiliki tanah. Namun Felda telah menyalahgunakan pemberian tanah oleh kerajaan negeri lalu bertindak sebagai tuan estet. Keadaan ini samalah seperti merompak tanah kerajaan negeri yang diwartakan.

Sehingga kini Felda Plantation Sdn. Bhd. memiliki ladang seluas 380,180 hektar (840,244.6 ekar) di seluruh negara dan mengaut keuntungan berbilion ringgit. Sedangkan menurut Seksyen 11 (1) Akta GSA tanah ini sepatutnya diberi oleh kerajaan negeri yang berkenaan di bawah Akta GSA untuk membolehkan pemilikan individu peneroka dalam rancangan berkelompok.

Lebih malang lagi, keuntungan tersebut tidak melimpah kepada kerajaan negeri kerana Felda merupakan agensi kerajaan pusat.

“Adalah jelas sekali pemilikan tanah ladang oleh Felda Plantation tidak sah, haram dan terbatal kerana bercanggah dengan Akta GSA. Akta GSA hanya membenarkan pemilikan individu dan secara saham koperasi sahaja”.

“Jadi kita cadangkan kerajaan negeri ambil balik tanah yang diduduki Felda Plantation dan diagihkan kepada individu peneroka sebanyak 10 ekar seorang terutama kepada generasi kedua. Melaluinya seramai 84,024 orang peneroka baru boleh dimasukkan,” kata Wan Rohimi.

Akhirnya Wan Rohimi menyimpulkan bahawa hasrat Tun Razak membentangkan Akta GSA bukan untuk menjadikan Felda sebagai “Tuan” dan peneroka sebagai “hamba”. Jika diteliti dengan baik, kita akan dapati bahawa matlamat sebenar Akta GSA ialah untuk semata-mata memberikan tanah kepada rakyat luar bandar dan dengan tanah untuk membangunkan sumber ekonomi rakyat luar bandar.

Apabila kerajaan negeri mewartakan sesuatu kawasan sebagai rancangan berkelompok maka Felda dijemput sebagai pengurus buat sementara waktu sahaja. Selepas tamat satu pusingan iaitu apabila hak milik diberikan secara individu kepada peneroka maka Felda perlu keluar dan kawasan rancangan dan tidak berhak lagi bertenggek di atas tanah dan harta peneroka.

“Adalah diharapkan kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat dapat meneliti kembali kuasa-kuasa yang dimiliki di bawah Akta GSA serta meneliti semula kandungan perjanjian antara kerajaan negeri dengan Felda. Seterusnya dapat membangunkan taraf hidup dan memperjuangkan kebajikan peneroka.”

“Sekiranya kerajaan Pakatan dapat menunjukkan satu model sebuah kerajaan negeri yang membela peneroka, terutama berkenaan dengan pengurusan rancangan berkelompok terutama yang melibatkan Felda, dipercayai masyarakat peneroka akan membuka mata dan mula menyedari bahawa sistem yang diamalkan oelh Felda dan Kerajaan Persekutuan selama 50 tahun perlu ditumbangkan, jelas Wan Rohimi.”

Gambar:
Wan Rohimi (kiri) bersama teman-teman peguam

Artikal asal disini
Stumble
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Pengikut

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...