PAPAN KENYATAAN

KOSONG

Sabtu, 4 Jun 2011

Keputusan Penuh Kepimpinan PAS 2011.

GOMBAK, 4 Jun — Mohamad Sabu sah menang kerusi jawatan timbalan presiden PAS dalam percubaan kali kedua dengan menewaskan dua calon termasuk penyandangnya Nasharudin Mat Isa, sekali gus menyaksikan barisan kepimpinan parti itu kali ini dikuasai kumpulan profesional.

Mohamad, bekas naib presiden, memperoleh 420 undi — keputusan yang dilihat menarik perhatian banyak pihak di dalam dan luar parti itu.

Nasharudin yang menyandang jawatan itu sejak 2005 hanya menerima 224 undi manakala seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendapat 399 undi.

Pemilihan PAS diadakan setiap dua tahun sekali.

Selepas tewas pemilihan 2009 Mohamad yang mesra dipanggil “Mat Sabu” dilantik sebagai ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Di peringkat naib presiden Salahuddin Ayub dan Datu Mahfuz Omar mengekalkan kerusi masing-masing dan Datuk Paduka Husam Musa kembali dipilih ke jawatan itu.

Salahuddin menerima undi terbanyak iaitu 753, Husam di tempat kedua dengan 660 undi manakala Mahfuz 616 undi.

Tiga lagi calon iaitu Idris Ahmad, Datuk Mohd Omar Abdulalh dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin masing-masing menerima 491, 321 dan 217 undi.

Dalam pada itu, kerusi ahli jawatankuasa kerja pusat yang menawarkan 18 tempat, dua pertiganya dikuasai oleh kumpulan profesional atau sering dilabel sebagai puak Erdogan.

Seramai 53 calon bertanding kerusi ahli jawatankuasa kerja pusat kali ini.

Pengerusi Anak Mazlan Aliman mendapat undi terbanyak iaitu 804 dan disusuli oleh Dr Hatta Ramli (765), Datuk Kamaruddin Jaafar (739), peguam PAS Hanipa Maidin (735), Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak (721), Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad (702), Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa (651), Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad (643), Abdul Ghani Shamsuddin (579), Amiruddin Hamzah (576), Ahli Parlimen Kuala Terengganu Abdul Wahid Endut (556), Datuk Abu Bakar Chik (527), Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah (470), Datuk Dr Mahfodz Mohamed dari Johor (449), Ahli Parlimen Kota Raja dan Timbalan Ketua Muslimat Dr Siti Mariah Mahmud (445), Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali (437), Abdul Ghani Abdul Rahman (430) dan bekas ketua Muslimat Nuridah Salleh (416).

Stumble
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

PAS DAN UMNO BOLEH BEKERJASAMA


KUALA LUMPUR, 3 Jun: PAS sedia bekerjasama dengan Umno untuk hal-hal tertentu tetapi sama sekali tidak akan berpakat dengan parti nasionalis itu.

"Dengan Umno, kerjasama boleh tetapi untuk pakat tak ada. Bincang untuk pilihan raya adil dan lebih demokratik, kita bersedia," kata Abdul Hadi dalam sidang medianya tengahari tadi.

Abdul Hadi berkata, pelbagai kerjasama yang telah PAS buat dengan Umno termasuk dalam isu nukleur, Palestine dan juga berusaha sama-sama untuk menghadapi masalah ekonomi melalui Majlis Perunding Ekonomi Negara (Mapen).

Beliau menjawab soalan wartawan ekoran sikap Umno yang terus-terusan mengajak PAS bersama dengannya.

Untuk menjawab sikap Umno yang terus-terusan membuat kenyataan meminta PAS meninggalkan Pakatan Rakyat, Abdul Hadi berkata, "Itu kena tanya Umno, kenapa tawar PAS sampai begitu sekali, susah sangat ke hingga tawar PAS."

Dalam sidang media yang disertai oleh timbalannya, Nasharudin Mat Isa dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali itu, Abdul Hadi mengucapkan terima kasih kepada semua petugas muktamar yang telah memastikan muktamar berjalan dengan baik.

"Terima kasih khasnnya ditujukan kepada Jawatankuasa Pemilih pimpinan Datuk Halim yang telah berjaya menjalankan tugas dengan baik dan berjalan lancar," katanya.

Pemilihan peringkat pusat berjalan hari ini manakala keputusannya akan dimaklumkan pagi esok.

Abdul Hadi juga berpuashati dengan kerjasama yang baik antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

"Saya turun ke bawah, ke negeri-negeri dan kawasan, saya lihat kerjasama yang baik di kalangan petugas kita dari pelbagai parti Pakatan, kaum dan agama," kata beliau.


Beliau mengaku, PAS, PKR dan DAP boleh berbeza idealogi, agama dan pendekatan "tetapi kita boleh kerjasama dalam titik persamamaan."

Ketiga-tiga parti juga mencapai kata sepakat dalam perkara asas iaitu menerima Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan Bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu, kedudukan raja-raja Melayu.

"Masalah yang berbeza agama itu hak masing-masing dan tidak perlu kita perbetulkan," katanya.

Negara berkebajikan dan negara Islam

Ketika ditanya tentang isu negara berkebajikan yang menjadi tema muktamar kali ini berbanding negara Islam, Abdul Hadi menjelaskan PAS sekarang mementingkan isinya.

"Tema kita negara berkebajikan, ia sememangnya dah ada dalam Islam. Dalam al Quran tak sebut negara Islam, dia sebut negara kebajikan, jadi kita laksanakan iaitu kita dahulukan yang ada persamaan," kata Abdul Hadi.

Beliau mengaku antara parti-parti ini ada beza antara satu sama lain.

"Kita berikan hak mereka yang benarkan minum arak tetapi kita tidaklah turut sama minum arak dengan mereka sebagaimana sesetengah pihak," katanya.

Berhubung dengan perbezaan latar belakang pemimpin dalam PAS pula, Abdul Hadi berkata, ia wujud sejak awal PAS lagi jadi tidak berbangkit soal PAS berpecah.

"Perpecahan dalam PAS tidak berlaku kerana wujudnya kumpulan ini sejak ditubuhkan lagi, Dr Haji Abas adalah Yang Dipertua PAS, Aminudin Baki dan juga Datuk Asri Muda semuanya bukan ulamak namun PAS kukuh kerana kepimpinannya secara kolektif untuk laksakan Islam yang luas bukan fahaman barat yang sempit," jelas Abdul Hadi.

Stumble
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

AMALAN POLITK UMNO SESATKAN ORANG MELAYU


KUALA LUMPUR, 3 Jun: Ajaran sesat mengatakan politik tidak ada hubungan dengan ajaran Islam menyebabkan berlakunya khianat dalam pentadbiran negara, kata Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.

“Ajaran sesat ini telah melahirkan pemimpin Melayu yang tidak ada perhitungan agama dalam amalan politik mentadbir negara, seterusnya berlaku khianat dalam memimpin rakyat dan mengurus sumber negara yang melimpah ruah,” kata Abdul Hadi dalam ucaptamanya di Mukmatar PAS ke 57 di Taman Melewar pagi ini.

Hadi berkata walaupun kini ramai di kalangan orang Melayu Islam telah menerima politik sebahagian dari agama, namun tindakan politik mutakhir ini telah dibejati oleh amalan-amalan yang tidak mengikut batas agama dan syariat.

“Kemurnian politik telah dicemari oleh tindakan jijik menerusi rasuah politik wang, fitnah, sikap perkauman sempit, pembohongan, dan segala macam perkara kotor yang memalukan anak-anak yang menjadi penonton di sekeliling kita,” kata Abdul Hadi sambil menegaskan bahawa Umno Barisan Nasional tidak boleh diharap untuk membersihkan budaya politik yang dikotorkan oleh tangan mereka sendiri.

Akibat dijangkiti keruntuhan moral dan zalim, rasuah dan penyalahgunaan kuasa sehingga tidak menunaikan amanah besar yang diwajibkan oleh Islam kepada penganutnya, kata Abdul Hadi pemimpin Melayu Islam telah membebalkan majoriti rakyat beragama Islam telah gagal menjadi model Islam yang sebenar kepada rakyat bukan Islam.

Umno, kata beliau walaupun merupakan parti majoriti Melayu dan Bumiputera yang telah diberi amanah pemerintahan sejak keluarnya penjajah asing, masih dibarahi penyakit warisan penjajah yang memisahkan amanah ini daripada perhitungan agama.

“Akibatnya amanah yang besar ini dijadikan peluang kebendaan yang menyuburkan perbuatan rasuah dan khianat. Akhirnya, harta negara menjadi milikan peribadi pemimpin mereka, meninggalkan rakyat berhempas pulas untuk melangsungkan kehidupan di dunia ini,” selar beliau.

Tambah beliau lagi, perkara ini akan berterusan selagi urus tadbir dan tata-kelola pengurusan sumber dan khazanah kekayaan negara tidak mengambil dan merujuk kepada falsafah dan jauh sekali menghayati tuntutan Islam.

“Cita-cita murni untuk membina sebuah negara yang sejahtera dan aman telah digagalkan oleh sebuah pemerintahan yang terus memimpin secara tidak bertanggungjawab,” kata Abdul Hadi.

Menurut Abdul Hadi, umat Melayu Islam sebagai teras politik dalam negara kita ini, semakin hari semakin lemah jati diri kerana lemah kefahaman Islamnya, apabila kerajaan hari ini tidak menjadikan Islam agama yang memerintah dan tidak mampu menunjukkan model Islam kepada masyarakat majmuk.

“PAS wajib menyelamat negara dan penganut Islam yang hilang punca dan membetulkan fahaman yang salah ini,” tambah beliau.

Mengenai perjuangan Umno, Abdul Hadi berkata mereka hanya sekadar berminat untuk mengekalkan kuasa mereka dan bukannya untuk memartabatkan Melayu dengan Islam.

“Ini kerana Melayu Umno tetap menyokong BN walaupun di kawasan PAS bertanding menentang calon MCA dan MIC, sebaliknya sudah ramai bukan Melayu dan bukan Islam yang komited mengundi calon PAS yang menentang calon MCA dan MIC dari Barisan Nasional. Hakikatnya, Umno telah menjadikan penyokong Melayu Islam buta dan pekak dengan politik wang, media dan hiburan yang melalai dan membodohkan mereka,” terang beliau.

Adalah menjadi tanggungjawab besar bagi PAS, kata Hadi untuk terus menerus memperkenalkan ajaran Islam secara ilmu kepada seluruh rakyat dengan mengembalikan umat Islam yang jahil kepada Islam, supaya membebaskan diri daripada khurafat politik Umno bahawa mereka sahaja boleh memerintah.

“PAS wajib menyelamatkan negara dan rakyat daripada belenggu kejahilan dan kezaliman politik dengan peringatan Allah SWT,” tegas beliau.

Stumble
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Pengikut

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...