PAPAN KENYATAAN

KOSONG

Selasa, 23 April 2013

Ceramah: Petugas parti tidak perlu mohon permit ???



Pihak petugas parti tidak perlu memohon permit atau membuat apa-apa makluman kepada pihak polis jika ingin membuat sebarang ceramah dan lain-lain perhimpunan pada PRU13 ini.

“Ceramah dan perhimpunan boleh diteruskan tanpa melanggar apa-apa peruntukan undang-undang,” jelas Pengarah Perundangan Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Zulqarnain Lukman dalam satu kenyataan.

Menurutnya, atas semangat transformasi yang dilaungkan oleh kerajaan dan pesta demokrasi yang berjalan sekarang serta pemansuhan Seksyen 27 Akta Polis, maka pihaknya berpendapat bahawa keperluan untuk mendapatkan permit sudah tidak wujud lagi.

Berikut ialah penjelasan beliau.

Salam dan tahniah kepada semua calon yang berjaya menghantar borang pencalonan masing-masing.

Kami telah mendapat laporan bahawa ada sesetengah OCPD yang mengarahkan parti politik bertanding untuk memohon suatu permit daripada mereka berdasarkan seksyen 24B(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Kami juga difahamkan bahawa pihak polis telah membuat borang khusus bagi permohonan permit ini dan telah diedarkan kepada wakil parti.

S. 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menyatakan,

"Seseorang calon atau ejen pilihan rayanya boleh, semasa tempoh berkempen -

(a) mengadakan, memanggil atau mengaturkan apa-apa perjumpaan awam terbuka, perhimpunan awam terbuka, pertunjukan awam terbuka atau hiburan awam terbuka; atau

(b) memberikan apa-apa ucapan awam terbuka atau syarahan awam terbuka,

di dalam bahagian mana-mana pilihan raya yang baginya calon itu bertanding tetapi hanya jika dia memegang suatu permit untuk berbuat demikian yang dikeluarkan kepadanya oleh pegawai polis yang menjaga daerah di mana perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan atau atau hiburan itu hendak diadakan atau ucapan atau syarahan itu hendak diberikan.

Kami tidak bersetuju dengan arahan OCPD itu kerana sebelum ini (dalam pilihan raya yang lepas) tidak pernah suatu permit dipohon di bawah seksyen 24B ini tetapi permit dikeluarkan menurut Seksyen 27 Akta Polis. S.27 Akta Polis telah dimansuhkan pada 23/4/2012 [2 hari lagi adalah hari ulangtahun pemansuhan S.27 ini] dan oleh itu keperluan untuk memohon permit sudah tiada lagi.

S. 27 kemudiannya telah digantikan dengan Akta Perhimpunan Aman 2012. Seksyen 1(2) Akta Perhimpunan Aman ini secara jelas menyatakan akta ini tidak terpakai bagi suatu perhimpunan yang merupakan suatu kempen pilihan raya di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Oleh itu, atas semangat transformasi yang dilaungkan oleh kerajaan dan pesta demokrasi yang berjalan sekarang serta pemansuhan Seksyen 27 Akta Polis, maka kami berpendapat bahawa keperluan untuk mendapatkan permit ini sudah tidak wujud lagi.

Kami juga berpendapat keperluan permit di bawah S.24B Akta Kesalahan Pilihan Raya tidak dapat berdiri dengan sendirinya [melainkan terpaksa bergantung kepada S. 27 Akta Polis yang telah dimansuhkan] kerana kekurangan peruntukan yang sahih berkaitan penyuraian, tatacara permohonan, pembelaan dan lain-lain isu berkaitan. Malah, borang yang digunakan PDRM itu tidak digazetkan untuk dijadikan undang-undang atau dalam kata lain PDRM sendiri melanggar undang-undang jika mengarahkan kepada parti untuk memohon permit.

Kesimpulannya, pihak petugas parti tidak perlu memohon permit atau membuat apa-apa makluman kepada pihak polis jika ingin membuat sebarang ceramah dan lain-lain perhimpunan. Ceramah dan perhimpunan boleh diteruskan tanpa melanggar apa-apa peruntukan undang-undang.

Sekian

Dr Zulqarnain Lukman
Pengarah Perundangan
Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/18526-ceramah-petugas-parti-tidak-perlu-mohon-permit
 
Stumble
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Pengikut

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...