PAPAN KENYATAAN

KOSONG

Khamis, 29 Oktober 2009

KONFLIK DALAMAN PAS AKAN DIBINCANG BERSAMA AHLI SEMINAR GANTI "EGM"


KUALA LUMPUR: PAS memutuskan untuk mengadakan satu seminar bagi mengantikan Muktamar Luar Biasa (EGM) yang dicadangkan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, seminar tersebut akan diadakan pada 7 Disember bertempat di Taman Melewar dengan yang akan disertai ahli-ahli PAS daripada seluruh negara.

Siasah difahamkan peserta seminar tersebut adalah sama dengan peserta muktamar tahunan PAS.

Abdul Hadi sebelum itu mempengerusikan mesyuarat khas ahli jawatankuasa PAS Pusat berhubung konflik terbaru dalam parti itu.

Turut diputuskan dalam mesyuarat yang berlangsung lebih empat jam itu ialah kajian terhadap kes Selangor - salah satu isu yang dicetuskan dalam konflik tersebut, yang akan diketuai Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man daripada jawatankuasa disiplin PAS Pusat.

Mesyuarat juga memutuskan isu kerajaan perpaduan (unity government) tidak akan berbangkit lagi dalam PAS.

Konflik dalaman terbaru PAS tercetus apabila Nik Aziz menggesa satu muktamar Khas (EGM) diadakan bagi membincangkan isu yang beliau sifatkan "dua tiga kerat pemimpin bermasalah".

Menguatkan cadangannya itu, Nik Aziz juga merujuk kepada parti Umno, MCA dan MIC yang mengadakan EGM apabila berlaku masalah dalaman parti.

"Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan mesyuarat agung khas dan MCA pun boleh mengadakan EGM-nya sehingga sempat menggugurkan presiden dan timbalan presidennya.

"Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan perlembagaannya melalui kongres khas mereka. Maka kita?

"Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang (presiden MIC Datuk Seri S) Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain.

"Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya, mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu." tulis Nik Aziz dalam blog beliau.

Beliau juga mengambarkan cadangan untuk EGM itu turut dipengaruhi setelah membaca tulisan pensyarah Undang-undang Universiti Islam Malaysia (UIA) Dr Aziz Bari yang mengaitkan kemerosotan undi PAS di Bagan Pinang baru-baru ini dengan kekecohan di Selangor serta mengkritik kepimpinan Abdul Hadi.

Sekurang-kurangnya dua pimpinan tertinggi PAS iaitu Nasharuddin dan Naib Presiden, Salahuddin Ayub telah bertemu Nik Aziz ekoran kenyataan tersebut.

Isu yang turut dipanaskan oleh media dan menjadi topik utama kebanyakan blog yang dikendalikan individu yang dekat dengan PAS telah menimbulkan kegelisahan dikalangan ahli PAS apalagi ada pemimpin yang memperlihatkan sokongan dan bantahan terhadap cadangan Mursyidul Am itu.

Bagaimanapun Abdul Hadi dalam reaksinya beberapa hari selepas isu tersebut menjadi panas meminta kemelut dalaman yang sedang dihadapi PAS perlu diselesaikan secara musyawarah dan bukannya menerusi penggunaan media massa dan media baru.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Abdul Hadi berkata pendekatan musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan PAS sewajarnya dipilih, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti.

"Sehubungan itu, saya meminta seluruh ahli dan kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk bersabar dan bertenang dalam menghadapi persoalan dalaman parti pada waktu ini," katanya.

Nik Aziz kemudiannya juga akur untuk menukar EGM seperti mana cadangan awalnya kepada mesyuarat khas.

Sejurus itu, Setiausaha Agung PAS menetapkan jam 8.30 malam pada 28 Oktober untuk mengadakan mesyuarat khas dikalangan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi membincangkan isu berkaitan EGM yang dicadangkan Nik Aziz, melalui sidang media pada 26 Oktober.

Mesyuarat tersebut turut menjemput Nik Aziz hadir untuk membolehkan membentangkan pendapatnya disamping semua pimpinan PAS mendengar sendiri penjelasan daripada beliau.

Nik Aziz pada asalnya dilaporkan keberatan untuk hadir kerana bertembung dengan persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan yang berakhir pada petang rabu bagaimanapun mengambil keputusan untuk turut serta dalam mesyuarat tersebut.
COPY DARI SIASAH
Stumble
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Pengikut

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...