PAPAN KENYATAAN

KOSONG

Selasa, 22 Disember 2009

NAJIB-UMNO-FELDA

Untuk setengah abad yang lalu, FELDA (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) memainkan peranan yang penting di tanahair Malaysia, khususnya dalam masyarakat Melayu, termasuklah bidang ekonomi, sosial, dan yang paling penting, politik.Malah, tsunami politik 8 Mac 2008 mungkin telah mengaramkan UMNO-BN seandainya FELDA tidak wujud. Menurut perhitungan ahli parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong, FELDA memainkan peranan yang penting di kira-kira 50 kawasan parlimen.
Pengaruh FELDA terserlah, dan dilihat sebagai kubu politik UMNO. Pengasasnya Perdana Menteri kedua Malaysia, Allahyarham Abdul Razak bin Hussein yang dikenang kerana jasanya membangunkan tanah kawasan luar bandar, yang pada ketika itu didiami orang Melayu kebanyakannya.

53 tahun sudah berlalu. FELDA kini diwarisi oleh anak Bapa Pembangunan. “UMNO perlu berubah”, demikianlah slogan yang dilaungkan sebelum menemui hasil sebenar. Kesudahannya belum pasti. Yang pastinya, FELDA telah berubah sebaik sahaja PM keenam, Najib Razak menerajui tampuk pimpinan kerajaan.
Felda sebagai kubu UMNO
Penguasaan terhadap FELDA memberi makna penting dalam politik Melayu. UMNO memenangi 74 kerusi parlimen daripada 117 yang ditanding dalam PRU ke-12. Senario ini jauh berbeza daripada kemenangannya dalam PRU ke-11 pada tahun 2004, menyapu 109 kerusi parlimen, iaitu setengah daripada jumlah kerusi di Dewan Rakyat ketika itu.
Pada hakikatnya, UMNO perlu menguasai FELDA untuk menguasai kawasan luar bandar. Dengan kata lain, UMNO perlu menguasai FELDA untuk mengekalkan kuasa. Menurut seorang pegawai atasan dalam Felda Holdings Berhad, interaksi antara Najib dengan FELDA bertambah kerap setelah beliau menyandang jawatan PM. Malah, pertemuan dengan peneroka diaturkan hampir setiap dua minggu, selagi Najib dapat meluangkan masanya.
Menurut sumber maklumat ini, selain peruntukan tanah, masyarakat peneroka juga diberi subsidi baja, bahkan menerima dividen dari masa ke masa. Malah, sesetengah peneroka menjual baja yang diperolehi secara percuma itu sebagai “skim cepat kaya”. Jelas, Najib sedar bahawa kepentingan UMNO hanya terlindung apabila kepentingan peneroka FELDA dijaga.
FELDA sebagai kuasa ekonomi
Walau bagaimanapun, FELDA bukan sekadar berperanan untuk mengagih sumber sambil menerima undi sebagai pulangannya. Menurut maklumat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, sayap komersial FELDA, iaitu Felda Holdings Berhad mencatat pendapatan sejumlah RM15.3 bilion, dan keuntungan bersih sejumlah RM635.7 juta pada tahun kewangan 2008.
Pada masa yang sama, syarikat tersebut memiliki wang simpanan tetap sejumlah RM 1.4 bilion, dan wang tunai serta simpanan bank sejumlah RM 222.7 juta pada akhir tahun 2008.
Selain itu, menurut laporan media, FELDA memiliki 850,000 hektar tanah tanaman, 38 buah anak syarikat, 75 buah kilang minyak kelapa sawit, dan 7 buah kilang pengekstrak minyak kelapa sawit — penanam dan pengurus tanaman yang terbesar di dunia. Malah, FELDA menakluki 20% pasaran kelapa sawit di dunia. Secara puratanya, pendapatan FELDA mencecah RM15 bilion setahun, dan memperolehi keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.3 bilion pada tahun 2008.
FELDA menerokai dunia global
Demikianlah hasilnya setelah setengah abad penerokaan dan pembangunan tanah di Malaysia. Kini, FELDA merancang untuk mengembangkan sayapnya ke peringkat global mengikut jejak Petronas.
Menurut laporan media pada 2 Julai 2009, Felda Global Venture Holdings telah ditubuhkan untuk mengambil alih dan membangunkan perusahaan pelaburan komersial di bawah FELDA. Malah, Felda Global telah mengumumkan kesediaannya untuk melabur lebih daripada RM 6 bilion untuk memperluaskan perusahaannya dalam masa lima tahun yang akan datang.
Persoalannya, apakah latar belakang Felda Global? Syarikat ini telah ditubuhkan pada Disember 2007, namun hanya diumumkan struktur organisasinya pada Julai 2009. Sebelum ini, Felda Global berada dalam keadaan separuh-lelap, dan hanya bangkit apabila Najib menjadi PM secara rasmi pada April 2009.
Felda Global telah memulakan pelaburannya di luar negeri, walaupun apa yang diumumkan kepada khalayak adalah terhad. Selain penerokaannya di peringkat global, Felda Global memainkan peranan penting dalam bidang ekonomi Malaysia. Baru-baru ini, Felda Global telah membeli Malayan Sugar Manufacturing Company Bhd daripada Raja Gula, Robert Kuok dengan RM1.22 bilion.
Najib, dan konco-konconya
Cuma, siapa pula di sebalik Felda Global? Jawapannya, Mohd Bakke Salleh orang rapat Najib yang dikhabarkan bakal mengambil alih jawatan Hassan Marican pada Februari 2010 sebagai CEO Petronas. Bagaimanapun, pegawai khas Najib ketika beliau menjadi TPM, Omar Mustapha Ong akhirnya yang dilantik memasuki Lembaga Pengarah Petronas untuk menutup spekulasi yang tersebar.
Bakke Salleh, menguasai Felda Holdings Berhad sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global. Jelas, perlantikannya diiringi dengan misi daripada Najib untuk membangunkan Felda Global seiring dengan Petronas. Bakke Salleh pernah menganggotai Lembaga Pengarah Danaharta dan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji pada tahun 2001, untuk menyelesaikan krisis yang dihadapi oleh Lembaga Tabung Haji.
FELDA terpesong dari matlamat asal
Misi penerokaan ke dunia global yang diamanahkan kepada Felda Global sememangnya memperlihatkan agenda politik dan kepentingan golongan tertentu di sebaliknya. Namun, seandainya diimbas kembali matlamat asal penubuhan FELDA, kita terpaksa mengakui bahawa sudah tiba masanya untuk merombak agensi ini.
FELDA ditubuhkan pada tahun 1956 untuk membantu orang Melayu di luar bandar dengan rancangan penerokaan dan pembangunan tanah. Pertanian diusahakan sebagai salah satu langkah untuk membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat Melayu.
Tetapi, FELDA semakin terpesong dari matlamat asalnya, apabila peneroka mula mencari rezeki di luar kawasan FELDA, dan menjadikan aktiviti pertanian sebagai kerja sampingan. Keadaan ini berlaku terutamanya setelah Malaysia melalui tahun 1980-an, apabila peneroka mula pindah ke bandar untuk bekerja di kilang industri, yang pendapatannya lebih stabil berbanding dengan aktiviti pertanian. Malah, pekerja asing diupah untuk mengusahakan tanah pertanian yang asal.
Lebih-lebih lagi, generasi kedua dan ketiga masyarakat peneroka memilih untuk mencari rezeki di bandar, apabila arus perindustrian kian menderas. Tanah ditinggalkan kepada peneroka yang sudah lanjut usianya, malah tidak larat lagi untuk membanting tulang di kebun.
Keadaan bertambah dahsyat apabila nilai tanah melonjak berikutan proses urbanisasi. Kawasan bandar diperluaskan. Tanah diterokai untuk membina bangunan komersial dan perumahan. Maka, sesetengah peneroka bandar memilih untuk menjual tanahnya dengan kebenaran kerajaan, lantas menjadi jutawan dalam sekelip mata.
Realitinya, perkembangan terkini memperlihatkan bagaimana FELDA semakin hari semakin kehilangan tanah tanamannya. Secara makronya, masyarakat Melayu mungkin mewarisi kekayaan daripada rancangan FELDA, yang sudah terpesong daripada matlamat asalnya. Secara mikronya, Najib mungkin mewarisi legasi ayahandanya, tetapi bukan jiwanya.
Oleh Neo Chee Hua, Lim Hong Siang

Stumble
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Tiada ulasan:

Pengikut

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...