PAPAN KENYATAAN

KOSONG

Isnin, 12 Mac 2012

MENGECAM TINDAKAN MENAHAN PRESIDEN ANAK MEMASUKI SABAH


19 Rabi'u al-Akhir 1433 bersamaan 12 Mac 2012
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam tindakan kerajaan negeri Sabah kerana menahan saudara Mazlan Aliman, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dari memasuki negeri itu semalam. DPPM menganggap tindakan terhadap Mazlan Aliman amat tidak wajar dan menzalimi hak seorang warganegara yang sah.

DPPM menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan Sabah serta Sarawak adalah sebahagian dari negeri di Malaysia. Jika benar Sabah dan Sarawak mahu menanamkan semangat demokrasi Malaysia, Sabah perlu menghormati setiap warganegara sah untuk memasuki mana-mana negeri dalam Malaysia. Konsep autonomi yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia dahulu bukan suatu tiket buat kerajaan Sabah melakukan sewenang-wenangnya terhadap mana-mana rakyat yang mahu ke negeri itu. Tindakan kerajaan Sabah telah jelas melanggar semangat demokrasi di negara ini serta menghina seorang warganegara yang sah. Menjadi suatu kepelikan apabila seorang warga negara ini dinafikan hak untuk masuk ke negara ini tanpa apa-apa kesalahan.

DPPM mempersoalkan apakah jenayah yang telah dilakukan oleh saudara Mazlan sehingga dinafikan hak sebagai rakyat Malaysia yang lain? Apakah Sabah mahu negara ini menjadi sebuah negara tentera atau komunis? Sedangkan Mazlan tidak mempunyai rekod buruk dalam sebarang aktiviti jenayah atau keganasan.

DPPM melihat tindakan penahanan beliau adalah suatu tindakan ‘politik desperado’ oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang takut dengan kebangkitan rakyat dalam himpunan Bangkit 123 hari ini. Datuk Seri Musa Aman merasa cemas sekiranya gelombang tsunami politik membadai pula Sabah sepertimana yang berlaku di negeri Semenanjung pada hari ini serta gerun sekiranya rakyat mendedahkan penyelewengan yang dibuat oleh kerajaan pimpinannya dalam isu pengambilan tanah. Sehinggakan beliau sanggup menggunakan kuasa eksekutifnya sebagai Ketua Menteri mengambil tindakan terhadap wira rakyat dan tanah adat Sabah, Saudara Mazlan Aliman dari memasuki negeri itu.

DPPM mendesak penjelasan Ketua Menteri Sabah serta respons segera dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu ini. DPPM mendesak tindakan tegas Perdana Menteri terhadap kebiadapan Ketua Menteri Sabah bagi memastikan tiada lagi kejadian seumpama ini dimasa akan datang. Rakyat merasa tersinggung dengan insiden ini dan menganggap Ketua Menteri Sabah telah menyanggah hak rakyat dalam sebuah negara demokrasi.



DR RAJA AHMAD AL HISS

Naib Ketua

Dewan Pemuda PAS Malaysia
Stumble
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Tiada ulasan:

Pengikut

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...