SUMBER BERITA DARI SINI
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mazlan Aliman ditahan polis Pahang di Raub tengah malam tadi dipercayai berkaitan dengan ceramahnya menyentuh pengurusan Felda.
Beliau yang kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dijangka akan dihadapkan di mahkamah hari ini, kata salah seorang pembantunya ketika dihubungi.
“Mazlan masih berada di balai polis, difahamkan mungkin akan dibawa ke mahkamah pagi ini,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Mazlan yang juga Pengerusi Persatuan Anak-Anak Felda Kebangsaan (Anak) yang dipetik Harakah Daily berkata, polis tidak memberitahunya sebab beliau ditangkap.
Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan penangkapan itu ada kaitan dengan ceramah politik di Felda Klau, Raub petang semalam.
Naib Presiden PAS dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudddin Ayub mahu polis menjelaskan tujuan penangkapan tersebut.
“Sebagai rakyat, Mazlan sendiri wajib diberitahu sebab penangkapan beliau, itu hak asasi mereka yang polis tak boleh nafikan,” ujarnya.
Mazlan merupakan aktivis yang memperjuangkan isu-isu berkaitan dengan pengurusan Felda sejak beberapa tahun lalu.
Pada 24 Februari lalu, Anak meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengadakan siasatan awam terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kerana didakwa melakukan penindasan berterusan kepada peneroka.
Mazlan mengetuai kira-kira 200 peneroka tanah rancangan Felda dari Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Johor untuk menyerahkan memorandum kepada Suhakam berkenaan beberapa perlanggaran hak asasi dan ketidakadilan pengerusan Felda ke atas peneroka setelah lebih 50 tahun ia diwujudkan.
Memorandum tersebut mengandungi empat aduan daripada peneroka termasuk mengenai Akta Kawasan Tanah Berkelompok yang didakwa digunakan oleh kerajaan Umno/BN untuk mengongkong kebebasan para peneroka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan